Monday 21 May 2012

BULAN REJAB BULAN ALLAH SWT


Bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya "Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku." Sesiapa yang berpuasa dalam bulan ini dengan penuh ikhlas semata-mata kerana mengharapkan rahmat dari Allah maka ia layak mendapat ganjaran dari Allah seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. maksudnya,

i. Sesiapa yang berpuasa sehari maka ia akan mendapat keredaan Allah.

ii. Sesiapa yang berpuasa 2 hari maka ia akan mendapat kemuliaan yang besar dari Allah.

iii. Sesiapa yang berpuasa 3 hari maka ia akan dijauhkan oleh Allah dari dugaan dunia, diselamatkan dari penyakit merbahaya dan diselamatkan dari diseksa di akhirat kelak serta dari fitnah dajjal.

iv. Sesiapa yang berpuasa 7 hari maka akan dikunci oleh Allah 7 pintu neraka jahannam baginya.

v. Sesiapa yang berpuasa 8 hari maka akan dibukakan oleh Allah 8 pintu syurga untuknya.

vi. Sesiapa yang berpuasa 10 hari maka Allah akan memperkenankan semua permintaan dan hajatnya.

vii. Sesiapa yang berpuasa 15 hari maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lau disamping akan digantikan segala amal kejahatannya dengan amal kebaikan.

viii. Sesiapa yang berpuasa lebih dari 15 hari maka Allah akan menambahkan pula pahala amalnya dengan berlipat kali ganda lagi.

ix. Orang yang berpuasa dalam bulan Rejab di syurga kelak akan diberi minum dari air sungai yang bernama Rejab yang mana airnya lebih putih dari susu, lebih manis dari manisan dan lebih dingin dari salji.

x. Dalam bulan yang lain setiap amalan kebaikan Allah akan membalas dengan 10 kebajikan tetapi dalam bulan Rejab Allah akan membalas setiap amalan kebaikan dengan 70 kebajikan.

xi. Digalakkan supaya memperbanyakkan bacaan doa, zikir, istighfar serta mendengar kisah dan peristiwa yang berlaku dalam bulan ini seperti Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w.

Sunday 20 May 2012

10 AMALAN YANG TERBALIK

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

 7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan $20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar $15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaraan agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

Friday 18 May 2012

7 Perkara Kukuhkan Hubungan Cinta


Ramai orang yang bercinta dan ramai juga yang kecewa. Tapi siapa pula kata tak ramai yang bahagia dalam bercinta? Ramai juga. Tak percaya cuba kira. Orang lain nak bercinta, kita pun teringin juga. Tapi bukankah cinta itu fitrah manusia. Kalau nk ditahan-tahankan perasaan tu, mau gila jadinya. Tambah-tambah lagi orang yang kita sayang berada di depan mata, hampir disisi kita. Itulah sebabnya ramai yang kelam-kabut dalam percintaan dan perhubungan. Dalam fikiran mereka cuma fikirkan ‘bahagia’ ‘gembira’ dan ‘best giler‘ tapi jarang-jarang sekali terbit difikiran mereka, ‘sabar’, ‘pengorbanan’ serta ‘duka dan derita hadapi bersama’. Bila minda dan hati tak bersedia, maka cinta yang dibina mudahlah luntur warnanya. Baru diuji sedikit, bagai tsunami jadinya. Yang jadi korban, diri sendiri juga.

Saya tak mahu berceloteh panjang, tapi 7 perkara di bawah mampu menjadikan hubungan cinta anda lebih kukuh, lebih bahagia, lebih ‘syok’ dari sebelumnya!:

1. Kasih Sayang dan Cinta Yang Sebenar-benarnya

Cinta jangan hanya kerana nafsu. Biasanya cinta kerana nafsu ini adalah cinta yang terbit dek kerana terpesona dengan kecantikan rupa. Bukannya tak boleh jatuh cinta dengan si tampan dan jelita, namun cubalah mencintai dirinya bukan hanya pada ketampanan atau kejelitaannya saja. Nak tahu sama ada anda ikhlas atau tidak, cuba anda tanya pada diri anda sendiri. Apabila tiba suatu masa dirinya sudah tidak begitu cantik atau menawan, adakah cinta anda padanya tidak pudar walau sedikitpun? Apabila dia sudah tidak begitu berharta, adakah anda sanggup mencintainya dan berada disisinya? Jika jawapan anda YA! Tahniah, kawan. Anda benar-benar pecinta yang sejati!

2. Memberi dan Menerima

Memberi dan menerima atau ‘give and take’ dalam percintaan adalah sesuatu yang ‘menghidupkan’ perhubungan. Erti memberi itu luas. Bukan hanya memberi hadiah saja. SMS, kata-kata cinta, pujian, pertolongan, dan sebagainnya itu juga adalah memberi. Pihak yang menerima pula PERLU pandai menghargai apa saja yang diterima dari kekasih hatinya dan pandai pula membalasnya. Tunjukkan padanya yang anda benar-benar menghargai pemberiannya. Kadang-kadang, ucapan ‘terima kasih’ atau ‘thanks’ saja tidak memadai. Bayangkan anda beriya-iya , dengan susah payah membantu pasangan anda atau membelikan hadiah untuknya, lalu dia membalasnya dengan ucapan “terima kasih” dan itu saja! Tiada pujian, tiada senyuman, tiada kata-kata penghargaan. Oh, hambarnya! Ingat, anda perlu saling memberi dan tahu pula adab menerima. Jangan berat disebelah pihak saja. Jika anda sering merasakan dalam hubungan, seperti anda yang selalu ‘lebih-lebih’ sedangkan si dia ‘rilek’ saja, nampaknya ada yang tak betul dalam percintaan anda berdua. Mungkin si dia tidak ‘begitu’ mencintai anda. Anda faham maksud saya?

3. Saling Bekerjasama

Sejauh manakah anda dan pasangan anda dapat bekerjasama dengan baik? Pasangan yang ideal dan bahagia selalunya ialah mereka yang bersatu-padu, saling bantu membantu, ibarat kata pepatah, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing‘. Mereka umpama sahabat yang paling akrab yang sering bersama-sama berganding bahu dalam menyelesaikan pelbagai masalah dan rintangan. Pasangan yang baik adalah mereka yang tidak membiarkan pasangan mereka terkontang-kanting sendirian dalam kesusahan dan kesedihan, apatah lagi membina dan mempertahankan mahligai cinta sedangkan disebalah pihak hanya lepas tangan. Kalau anda nak tahu, ini namanya bertepuk sebelah tangan. Jika anda rasakan pasangan anda amat sukar untuk memberi kerjasama, apalagi untuk memahami perasaan anda yang inginkan bantuan, cubalah berbincang dengannya dengan baik. Jika si dia masih tidak berubah, mungkin ini masanya untuk anda angkat kaki dan ‘blah‘!

4. Gurau Senda dan Lawak Jenaka

Hiasi suasana hubungan anda dengan gurauan dan lawak jenaka. Kalau serious saja, mau tak jemu jadinya. Kalau anda mempunyai pasangan yang sentiasa serious, yang berlagak ‘professional‘ setiap masa, mengaku saja yang anda mula ‘bosan’ dan ‘penat’ dengannya. Ingat, walaupun anda boss di tempat kerja, anda masih manusia yang perlu pada gurau senda. Tak perlu kekal bermuka dan beperwatakan serious sepanjang masa. Walauapapun, saya tak suruh anda jadi pelawak. Gurauan dari anda, cukuplah sekadar mampu mengukir senyuman di wajahnya dan menjadikan dirinya terhibur. Buat para lelaki, orang perempuan memang suka pada lelaki yang mempunyai sense of humor!

5. Fikiran positif

“Kenapa lambat balas sms aku?” “Kenapa tak sms aku, tak ingat kat aku ke?” “Esok hari jadi aku, tapi dia macam buat tak tau je..” Jika anda berada dalam situasi seperti ini dan terus berfikiran negatif, saya ragu kalau hubungan cinta anda akan berpanjangan. Percintaan yang diselubungi oleh prasangka buruk dan fikiran negatif sangat payah untuk terus berdiri. Andai terdapat perkara yang anda ragukan atau sesuatu yang membuat anda rasa ‘tak puas hati’ minta saja penjelasan darinya dengan cara yang baik. Jika anda benar-benar sayangkan hubungan anda, cubalah berfikiran positif. Fikiran positif bukan saja dapat menyelamatkan hubungan anda, tapi mampu menjadikan hidup anda lebih ceria dan gembira. 

6. Ada Matlamat

Dalam percintaan anda perlu mempunyai matlamat yang jelas. Ke mana anda mahu bawa bawa hubungan anda? Bagi yang belum berkahwin, anda harus menetapkan PERKAHWINAN sebagai matlamat percintaan anda. Ada orang bercinta separuh nyawa tetapi tidak pernah terfikir untuk berkahwin. Duhai adik-adiku, para remaja sekalian, adakah anda begitu? Bercinta dalam usia yang terlalu muda sebenarnya sangat mencabar. Kemungkinan besar cinta yang dibina bakal berakhir separuh jalan (mungkin juga suku). Selagi anda tidak menetapkan matlamat yang jelas bagaimana anda mampu membawa percintaan anda ke jinjang pelamin, tiada siapa dapat menjamin hubungan anda akan berpanjangan.

7. Memiliki Hati Yang Bersih

Memiliki hati yang baik, suci dan bersih bukan saja satu kemestian dalam percintaan, tetapi juga dalam kehidupan. Dalam hubungan percintaan, pelbagai sikap dan sifat buruk boleh terbit dan terbentuk akibat hati yang tidak bersih. Ego yang tinggi, panas baran, angin tak tentu pasal, degil dan keras hati, sombong dan bongkak, zalim, cinta nafsu, semuanya ini berpunca dari hati yang kotor. Kes main kayu tiga, cinta beralih arah atau curang dalam percintaan adalah antara kesan daripada hati yang tiada ‘nur’. Sejauh manakah anda dalam hal ini? Bagaimana anda melihat diri anda sendiri? Lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya. Bersihkanlah hati anda, sentiasalah perbaiki kelemahan diri. Masih belum terlambat untuk anda berubah menjadi lebih baik. Namun, jika anda merasakan anda memang ‘OK’, bagaimana dengan pasangan anda? Ingat, bila bercinta, hati mau baik!

Itulah 7 perkara yang saya rasakan yang menjadi tonggak kekuatan pada hubungan percintaan, berdasarkan ilmu dan pengalaman. Tak semestinya betul, namun jika tiada salah satu dari 7 perkara tadi, mungkin boleh meletakkan hubungan cinta anda dalam keadaan yang tidak selamat. Semoga apa yang saya kongsikan, dapat menjadi manfaat buat diri saya sendiri dan sudah tentu pada anda semua. Saya juga doakan semoga anda dikurniakan pasangan hidup yang baik dan membahagiakan. Amiin..